Kamis, 05 Maret 2015

"KITA UMAT AKHIR ZAMAN YANG SANGAT ISTIMEWA"

"Rasulullah merindui umat akhir
zaman" .....****
Suasana di majlis pertemuan itu hening
sejenak. Semua yang hadir diam
membatu. Mereka seperti sedang
memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi
Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia
mendengar orang yang sangat dikasihi
melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir
dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang
tenang berubah warna. "Apakah
maksudmu berkata demikian wahai
Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-
saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya
melepaskan gumpalan teka-teki yang
mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua
adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan
saudara-saudaraku (ikhwan)," suara
Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah,"
kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelangkan
kepalanya perlahan-lahan sambil
tersenyum. Kemudian baginda bersuara:
"Saudaraku ialah mereka yang belum
pernah melihatku tetapi mereka beriman
denganku sebagai Rasul Allah dan mereka
sangat mencintaiku. Malahan kecintaan
mereka kepadaku melebihi cinta mereka
kepada anak-anak dan orang tua mereka."
Pada ketika yang lain pula, Rasulullah
menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’
baginda: "Siapakah yang paling ajaib
imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman
kepada Allah, sedangkan mereka sentiasa
hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian
mereka berkata lagi, " Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman,
sedangkan wahyu diturunkan kepada
mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman,
sedangkan aku berada ditengah-tengah
kamu," pintas Rasulullah menyangkal
hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya
sahaja yang lebih mengetahui," jawab
seorang sahabat lagi, mengakui
kelemahan mereka.
"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka?
Mereka ialah umatku yang hidup
selepasku. Mereka membaca Al Quran dan
beriman dengan semua isinya.
Berbahagialah orang yang dapat berjumpa
dan beriman denganku. Dan tujuh kali
lebih berbahagia orang yang beriman
denganku tetapi tidak pernah berjumpa
denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak bertemu
dengan mereka," ucap Rasulullah lagi
setelah seketika membisu. Ada berbaur
kesayuan pada ucapannya itu.
Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan
masa yang menjadi ukuran. Bukan
bertemu wajah itu syarat untuk
membuahkan cinta yang suci.
Pengorbanan dan kesungguhan untuk
mendambakan diri menjadi kekasih
kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati
dan buktikan dengan kesungguhan
beramal dengan Sunnahnya.
Pada kita yang bersungguh-sungguh
mahu menjadi kekasih kepada kekasih
Allah itu, wajarlah bagi kita untuk
mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang
dapat merenggangkan hubungan hati kita
dengan baginda Rasulullah.
Selawat & salam buat junjungan mulia
Rasulullah.s.a.w..."Berselawatlah
untukku satu kali, maka Allah akan
berselawat untuk nya 10 kali” hadis
riwayat muslim(1/288, no.384)
Sabda Nabi SAW “ Dari Ibnu Mas’ud r.a.
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang
yang terdekat denganku pada hari kiamat
ialah orang yang paling banyak berselawat
kepadaku.” (Hadis Riwayat At-Tarmidzi)
Sabda Nabi SAW : “ Dari Abu Hurairah r.a
berkata : Rasulullah s.a.w bersabda :
Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai
tempat perayaan dan berselawatlah
kepadaku , maka sesungguhnya bacaan
selawatmu itu akan sampai kepadaku
dimana sahaja kamu berada .“ (Hadis
Riwayat Abu Daud)
Ketika berjumpa sahabat handai atau
saudara mara sesama Islam . Sabda Nabi
s.a.w : “ Tiadalah dua hamba yang saling
cinta mencintai kerana Allah yang
berjumpa salah seorang yang lain lalu
berjabat tangan ( bersalam ) dan
berselawat kepada Nabi s.a.w . melainkan
Allah mengampuni dosanya sebelum
mereka berpisah , baik yang telah lalu
ataupun yang akan datang.“ (Hadis
riwayat Ibnu Sunni)
Ketika akan memulakan sesuatu pekerjaan
yang baik atau penting . Sabda Nabi
s.a.w : “ Setiap pekerjaan yang baik yang
tidak dimulai dengan hamdalah (memuji
Allah) dan selawat , maka pekerjaan atau
urusan itu terputus dan hilang
barkahnya.“ (Hadis Riwayat Ar-Rahawi)
Ketika mendengar orang menyebut nama
Nabi s.a.w . Sabda Nabi s.a.w : “ orang
yang bakhil itu adalah orang yang tidak
mahu berselawat ketika orang menyebut
namaku di sisinya.“ (Hadis Riwayat At-
Tirmidzi)
Ketika telinga berdengung . Sabda Nabi
s.a.w : “ Jika telinga salah seorang dari
kamu berdengung , maka hendaklah ia
mengingati dan berselawat
kepadaku.“ (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)
Ketika mengalami kesusahan dan
kebimbangan. Diberitakan oleh Ubay bin
Kaab r.a. bahawa seorang lelaki bertanya
kepada Rasulullah s.a.w, ujurnya : “ Ya
Rasulullah bagaimana pendapat engkau
sekiranya aku jadikan selawat untuk
engkau semua? Jawap Rasulullah s.a.w “
Kalau demikian Allah akan memelihara
engkau baik mengenai dunia mahu pun
mengenai akhiratmu.“ (Hadis Riwayat
Ahmad)
Setiap waktu pagi dan petang . Sabda Nabi
s.a.w : “ Barang siapa berselawat
kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan
waktu petang sepuluh kali , maka ia akan
mendapat syafaatku di hari
kiamat.“ (Hadis Riwayat Thabarani)
Berdasarkan dari hadis-hadis diatas, jelas
bahawa membaca selawat kepada Nabi
s.a.w adalah suatu dari rangkaian iman
dan ibadah yang wajib disempurnakan
oleh kaum Muslimin dengan penuh
kesungguhan dan keikhlasan. Semoga
dengan sentiasa berselawat ke atas Nabi,
Allah akan memberi rahmat dan
keberkatan dalam kehidupan kaum
Muslimin.
Fadilat Selawat - untuk renungan
Rasulullah SAW telah bersabda bahawa,
"Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail
A.S. telah berkata kepadaku.
Berkata
Jibril A.S. : "Wahai Rasulullah, barang siapa
yang membaca selawat ke atasmu tiap-
tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka
akan saya bimbing tangannya dan akan
saya bawa dia melintasi titian seperti kilat
menyambar."
Berkata pula Mikail A.S. : "Mereka yang
berselawat ke atas kamu akan aku beri
mereka itu minum dari telagamu."
Berkata pula Israfil A.S. : "Mereka yang
berselawat kepadamu akan aku sujud
kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan
mengangkat kepalaku sehingga Allah
S.W.T mengampuni orang itu."
Malaikat Izrail A.S pula berkata : "Bagi
mereka yang berselawat ke atasmu, akan
aku cabut ruh mereka itu dengan
selembut-lembutnya seperti aku
mencabut ruh para nabi-nabi."
Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah
S.A.W.? Para malaikat memberikan
jaminan masing-masing untuk orang-
orang yang berselawat ke atas Rasulullah
S.A.W.
Ayuh jangan kita melepaskan peluang
untuk berselawat ke atas junjungan kita
Nabi Muhammad S.A.W. Mudah-mudahan
kita menjadi orang-orang kesayangan
Allah, Rasul dan para malaikat.
Amin Ya Rabbal Alamin.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar